Saturday, July 5, 2014

Apa ada dalam kepala Otak Ku nan..


Mari kita buat sedikit analisa. Analisa yang tidak perlukan sebarang kepakaran bertahap professor, doktor atau sarjana.

Kita guna pengetahuan am sahaja.

Maka datanglah pak menteri, yang berkuasa di Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya. Hadirnya tidaklah disukai sangat oleh ramai manusia, cuma pada hari ini dia berada di atas takhta, maka terpaksalah rakyat tunduk padanya.

Inti katanya,

1. “Pengemis bakal dihukum – mereka kumpul duit tinggal di hotel tiga bintang,”
2. “Orang yang masih ada rasa simpati sesama manusia juga akan dihukum kerana masih ada peri kemanusiaan,”
3. “Nak tolong orang gelendangan tak boleh di tempat orang-orang kaya – Kotor,”

Semuanya dititah atas dasar ‘MENCEMAR IMEJ ibu negara, Kuala Lumpur.

Jadi dari premis-premis ini, kita lihat secara umum yang bergelut dalam otak sebesar penumbuk pak menteri ini ialah, usaha membersihkan imej ibu negera.

Tidak mahu lagi pencemaran. Tidak mahu rosak imej.

Dan daripada penakkulan mantik akal seorang pak menteri, yang mencemar ibu negara pada hari ini ialah bila ada orang miskin, hina memohon simpati, beberapa cebis kepingan besi atau kertas biru bernombor satu.

Pak menteri lebih sayangkan jubin-jubin mahal di kaki lima Bukit Bintang. Lebih cintakan suara tidak senang orang-orang banyak wang.

Sudahlah tidak mahu tolong, bila ada yang sanggup pikul tugas tanpa minta walau sekupang, pak menteri halau pula mereka, ancam mereka dengan tindakan ala binatang.

Saya pun tak tahu, sebagai anak kota ini, sejak kecil, yang lebih keji di mata saya bila lihat banyaknya wang yang dibakar tiap kali sambutan pesta tahun baru dan merdeka.

Lebih jijik di mata saya, bila jalan di kaki lima, ada siulan daripada entah siapa, menjaja wanita buat keseronokan sementara.

Tebal benar katalongnya. Mahu perisa apa, Eropah, India, China, Vietnam, Indonesia, mahupun Malaysia, pilih sahaja, bawa ke mana-mana, cukup masa pulangkan semula.

Semua ini nampak indah di mata pak menteri. Sejak puluhan tahun dibiar sahaja, tak tahulah jika memang pak menteri ada keluarkan lesen khas bikin halal perniagaan tertua di dunia itu.

Lupa pula nak cerita, mungkin pak menteri sangat selesa di atas sana, kerana tak ada yang akan datang kata “Jaga-jaga membeli di sini, kalau tawar menawar tapi tak jadi, ada tukang pukul yang menanti,”

Satu lagi, lebih hina di mata saya, bila ada pihak penguasa yang robohkan rumah insan tak berdosa. Tanah-tanah perkampungan orang Melayu habis semua nak diteroka, nak diambil tanahnya.

Sampai sekarang pemuda dan orang tua Kampung Padang Balang menanti dengan resah, bilakah ‘kan tibanya jentolak merobek rumah dan tanah mereka setelah jirannya, Chubadak disesah.

Itu semua indah di mata pak menteri.

***

Menarik untuk difikirkan ialah kepanjangan akal dan corak kotak pemikiran seseorang bergelar menteri mencari jalan penyelesai kepada masalah yang menghantui.

Nampaknya, sistem yang digunakan ialah menggunakan kaedah ‘penghapusan’. Kaedah ini cepat, menakutkan orang marhaen, dan dalam satu aspek, menguntungkan kantung sang penguasa.

Dalam sejarah peradaban manusia, inilah sistem tindakan paling keji, penakut dan pemalas.

Dari sudut pandang lebih nyata, ternampaklah bahawa si penguasa sudah tiada daya menempuh cabaran yang datang padanya.

Tidak suka sesuatu, hapuskan.

Mengapa tidak dirawat, disembuhkan penyakit itu?

Katanya ini semua ada tangan-tangan gelap yang jadi sendiket.

Lah, kalau sudah tahu itu masalahnya, tanganilah sendiket itu.

Apakah penguasa imigresen dan polis sudah hilang taring dalam tanah jajahan pak menteri?

Adakah pak menteri tak pernah turun ke jalanan? Tidak nampakkah bahawa masih ada Pak Mat dari Jempol, Ah Lian dari Pontian, Muthusamy dari Jerlun dan John dari Kinabatangan yang datang merantau ke tanah kekuasaan pak menteri.

Di wilayah ini mereka usaha mencari rezeki, segunung emas mereka harapkan, tapi mereka tak seuntung pak menteri. Mereka tak boleh tukar nama jadi Tengku sesuka hati

No comments:

Post a Comment

h12